Transformasi Prosedur Pengurusan Zakat Lembaga Zakat Negeri Kedah (UUM Press)
Institusi zakat ialah sebuah badan yang bertanggungjawab mengurus dan mentadbir hal ehwal berkaitan zakat iaitu daripada proses mengutip (kutipan) dan mengagihkannya (agihan) kepada golongan berkelayakan. Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) merupakan sebuah institusi zakat yang bertanggungjawab sepenuhnya dalam melaksanakan prosedur kutipan dan agihan zakat tanpa campur tangan daripada pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) mahupun Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK). Fungsi LZNK tersebut meletakkan institusi ini sebagai satu-satunya institusi zakat di Malaysia yang menguruskan dua fungsi zakat (kutipan dan agihan). Namun persoalannya ialah adakah LZNK berfungsi dengan sebaiknya sebagai satu-satunya institusi zakat di Kedah? Apakah prosedur kutipan dan agihan zakat yang dilaksanakan di LZNK? Bagaimana LZNK berperanan penting dalam memastikan kelancaran prosedur kutipan dan agihan zakat di seluruh negeri Kedah? Dalam usaha merungkai rantaian persoalan tersebut, buku ini diketengahkan untuk meneliti SOP, kutipan zakat dan agihan zakat. Selain menjelaskan secara terperinci prosedur kutipan dan agihan zakat di bawah kendalian LZNK, penelitian turut dilanjutkan terhadap usaha transformasi institusi agar LZNK terus berfungsi dan kekal relevan pada masa hadapan walau apapun cabaran yang mendatang.